JOMRIA.COM

JOMRIA

PUNCA PELAJAR GAGAL DALAM PEPERIKSAAN

Berjaya dalam pelajaran adalah harapan semua pelajar dan ibu bapa. Namun demikian, terdapat juga pelajar yang gagal dalam peperiksaan yang diadakan. Sebenarnya terdapat beberapa punca pelajar gagal dalam peperiksaan.

KURANG MEMBACA

Punca utama pelajar gagal dalam peperiksaan ialah pelajar kurang membaca. Hampir semua mata pelajaran yang diajar di sekolah memerlukan pelajar rajin membaca. Apabila pelajar malas membaca, maka pelajar akan kekurangan pengetahuan dan tidak dapat menjawab soalan yang diberikan dengan balk.

KURANG ATAU TIDAK MENGULANG KAJI PELAJARAN

Pelajar yang kurang mengulang kaji pelajaran juga akan gagal dalam peperiksaan. Sesungguhnya, mengulang kaji pelajaran amat penting bagi membolehkan pelajar mengingat semula fakta-fakta penting dalam sesuatu mata pelajaran. Dengan mengulang kaji pelajaran, ingatan pelajar akan menjadi lebih kuat. Sewajarnya pelajar mengulang kaji pelajaran sejak awal tahun lagi.

KURANG MEMBERI TUMPUAN

Sikap pelajar yang kurang memberikan tumpuan ketika guru mengajar juga menjadi penyebab pelajar gagal dalam peperiksaan. Pelajar yang kurang memberikan tumpuan, lazimnya tidak dapat menguasai pelajaran yang diajar oleh guru. Apabila sesuatu tajuk itu keluar dalam peperiksaan, pasti pelajar tidak dapat menjawab dengan baik. Oleh yang demikian, pelajar seharusnya memberikan tumpuan sepenuhnya ketika guru mengajar di dalam kelas.

SUKA PONTENG

Sikap pelajar yang suka ponteng kelas dan ponteng sekolah juga merupakan salah satu sebab mereka gagal dalam peperiksaan. Apabila pelajar ponteng kelas, pelajar pasti akan ketinggalan dalam mata pelajaran tersebut. Jika pelajar selalu ponteng sekolah, maka pelajar akan ketinggalan lebih banyak lagi dalam pelajaran. Sikap negatif ini pasti akan menyebabkan pelajar tidak dapat menjawab soalan peperiksaan dengan baik.

TIDAK TAHU TEKNIK MENJAWAB SOALAN

Sebab lain pelajar gagal dalam peperiksaan ialah pelajar tidak mengetahui teknik menjawab soalan dengan betul. Pelajar yang tidak tahu teknik menjawab soalan dengan betul akan menjawab soalan yang diberikan mengikut cara mereka sendiri. Terdapat juga pelajar yang tidak mengetahui kehendak soalan dan menjawab soalan mengikut kefahaman mereka sendiri. Akibatnya jawapan tersebut terpesong dan tidak menepati kehendak soalan.

Kesimpulannya di sini adalah terdapat beberapa sebab pelajar gagal dalam peperiksaan. Sebab utama pelajar gagal dalam peperiksaan ialah kerana sikap negatif pelajar itu sendiri. Jika pelajar mengamalkan sikap rajin dan berdisiplin ketika berada di sekolah, saya pasti pelajar akan lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan.

No comments:

Post a Comment