JOMRIA.COM

JOMRIA

SEBAB BERLAKU GEJALA SOSIAL DI KALANGAN REMAJA

Faktor diri remaja sendiri merupakan sebab berlakunya gejala sosial. Kebanyakan remaja yang terlibat dalam gejala sosial tidak mempunyai didikan agama dan moral yang mendalam. Mereka tidak takut pada dosa dan pembalasan Tuhan di atas perbuatan mereka. Remaja terbabit juga biasanya tidak sembahyang dan mengingkari perintah agama yang lain. Mereka berpendapat bahawa, kehidupan masa remaja perlu diisi dengan hiburan dan keseronokan semata-mata.

Sikap ibu bapa juga boleh menyebabkan remaja terjerumus dengan gejala sosial. Terdapat ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang kebajikan dan kasih sayang terhadap anak-anak. Sesungguhnya, anak-anak amat memerlukan kasih sayang daripada ibu bapa. Ibu bapa begitu sibuk dengan kerjaya bagi menambahkan pendapatan sehingga anak-anak terabai dan tidak mendapat kasih sayang yang secukupnya. Sikap ibu bapa ini menyebabkan anak¬-anak tidak mendapat perhatian yang sewajarnya lalu mereka melakukan perkara-perkara negatif untuk mehilangkan kebosanan dan tidak kurang juga ada yang melakukannya semata-mata untuk mendapat perhatian daripada ibu bapa mereka.

Pengaruh rakan sebaya juga boleh mendorong remaja terlibat dalam gejala sosial. Disebabkan faktor pergolakan keluarga di rumah, remaja cenderung untuk berjumpa rakan sebaya bagi mencari ketenangan dan kegembiraan. Sebahagian daripada rakan sebaya ini pula adalah mereka yang mempunyai perangai negatif. Oleh itu, remaja begitu mudah terikut-ikut dengan sikap rakan sebaya mereka. Apabila bersama rakan sebaya, remaja cenderung untuk melepak di pusat membeli-belah dan mendapatkan hiburan di pusat-pusat hiburan.

Sikap masyarakat yang tidak mengambil berat tentang permasalahan remaja juga menjadi faktor penyebab. Masyarakat hari ini cenderung untuk bersikap individualistik dan tidak mahu 'menjaga tepi kain orang'. Bagi pendapat sesetengah masyarakat pula pihak yang perlu mengatasi masalah remaja ialah pihak kerajaan sahaja. Oleh itu, tidak hairanlah jika ada remaja yang menagih dadah berdekatan dengan tempat tinggal mereka tetapi langsung tidak dipedulikan oleh masyarakat kerana mereka berpendapat bahawa, pihak kerajaan sahaja yang perlu menanganinya. Sikap masyarakat yang tidak ingin mengambil tahu tentang hal orang lain pasti akan menggalakkan lagi gejala sosial di kalangan remaja.

Pengaruh media massa terhadap para remaja sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Remaja cenderung untuk melakukan perkara yang pernah didengar atau dilihat di media massa kerana remaja mempunyai naluri ingin mencuba. Sebenarnya sikap ingin mencuba ini adalah sikap yang baik tetapi bukan semua perkara boleh dicuba sewenang-wenangnya.