JOMRIA.COM

JOMRIA.COM

KEBAIKAN AMALAN GOTONG-ROYONG

Kebaikan pertama amalan gotong-royong ialah dapat memudahkan kerja. Kerja yang berat, kalau dilakukan beramai-ramai, pastinya akan menjadi lebih mudah. Contohnya di kampung, majlis keramaian seperti majlis perkahwinan dibuat secara gotong-royong. Sehari sebelum majlis perkahwinan berlangsung gotong-royong yang dinamakan `rewang' diadakan. Penduduk kampung akan datang beramai-ramai bagi membantu memasang khemah dan memasak untuk majlis perkahwinan. Gotong-royong begini pastinya akan memudahkan kerja-kerja yang dilakukan.
Amalan gotong-royong juga akan membolehkan kita menjimatkan masa dan tenaga. Sebagai contoh, jika kerja membersihkan dan menceriakan sesuatu kawasan sekolah, dilakukan oleh seorang pekerja, maka masa yang diperlukan mungkin selama beberapa minggu. Namun demikian jika ia dlakukan secara gotong-royong masa yang diperlukan hanyalah satu hari sahaja. Oleh itu, jelaslah bahawa program gotong-royong membolehkan kita menjimatkan masa dan tenaga.


Selain itu, amalan gotong-royong juga membolehkan kita menjimatkan wang. Misalnya dalam hal menyediakan makanan semasa hari perkahwinan, dijalankan secara gotong-royong, pasti kita dapat menjimatkan wang. Tetapi, jika makanan tersebut ditempah daripada syarikat yang menyediakan makanan, belanja yang perlu dikeluarkan adalah lebih tinggi. Begitu juga dengan aktiviti kemasyarakatan yang lain seperti membina tempat menunggu bas kosnya akan lebih rendah jika dijalankan secara gotong-royong

Kebaikan seterusnya gotong-royong ialah dapat mewujudkan persefahaman dan kemesraan di kalangan anggota masyarakat. Amalan gotong-royong juga akan mewujudkan suasana hormat-menghormati. Contoh amalan gotong-royong ialah mengadakan sambutan hari perayaan peringkat kampung. Pada hari itu setiap keluarga akan membawa juadah masing-masing dan mereka akan bertukar-tukar juadah semasa jamuan diadakan. Keadaan itu pastinya menyumbang suasana harmoni.

Aktiviti gotong-royong juga boleh membawa kepada wujudnya perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita. Justeru, banyak program yang telah disusun dan dilaksanakan oleh kerajaan. Antara program tersebut ialah Sambutan Bulan Kemerdekaan dan pogram Rumah Terbuka Rakyat Malaysia. Amalan gotong-royong ini adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu. Masyarakat yang bersatu padu dan aman membolehkan negara kita menjadi sebuah negara maju.