JOMRIA.COM

JOMRIA.COM

LANGKAH MEMBENTUK KELUARGA BAHAGIA

Isu-isu yang berkaitan dengan pembentukan keluarga bahagia kerap dibincangkan dalam akhbar dan majalah. Hal-hal yang berkaitan dengan institusi kekeluargaan memang wajar diperkatakan kerana keluarga merupakan asas kepada pembentukan masyarakat dan negara yang cemerlang. Oleh yang demikian langkah-langkah untuk pembentukan keluarga bahagia perlu dilaksanakan oleh pelbagai pihak demi kebaikan bersama.

Ibu bapa merupakan pihak yang paling utama memainkan peranan dalam pembentukan keluarga bahagia. Hal ini kerana ibu bapa boleh merancang dan membuat tindakan untuk membolehkan keluarga mereka hidup bahagia. Contohnya, ibu bapa perlu menyediakan kemudahan am dan memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak. Ibu bapa perlu mengajar anak-anak adab-adab dalam keluarga dan menasihati anak-anak dalam hal-hal yang berkaitan dengan tingkah laku. Ibu bapa juga mesti menjadi contoh kepada anak-anak dalam segala hal yang berlaku di rumah.

PROMOSI EBOOK


Selain itu, ibu bapa juga mesti memberikan pendidikan kepada anak-anak. Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa memberikan pendidikan kepada anak-anak dengan menyekolahkan mereka. Pendidikan yang diperolehi anak-anak akan menjadikan mereka insan yang berguna kepada keluarga dan seterusnya dapat membentuk keluarga yang bahagia. Anak-anak yang mendapat pendidikan yang secukupnya tidak akan mudah terpengaruh dengan gejala sosial yang kerap melanda remaja masa kini. Oleh itu, apabila anak-anak sudah berjaya, mereka pasti dapat menyara diri dan membentuk sebuah keluarga bahagia setelah mereka berkahwin.

Anak-anak juga memainkan peranan penting dalam pembentukan keluarga bahagia. Hal ini kerana, anak-anak merupakan ahli yang penting dalam sesebuah institusi keluarga. Anak-anak mesti menyayangi ibu bapa dan anggota keluarga yang lain. Mereka juga mesti taat kepada suruhan ibu bapa. Selain itu, anak-anak juga mesti mengamalkan kebersihan dalam keluarga dan menjauhi diri daripada perbuatan negatif seperti merokok.

Di samping itu, anak-anak juga mesti mengamalkan nilai-nilai murni dalam keluarga. Anak¬-anak mesti bersikap jujur dan tidak mencuri barang berharga dalam rumah. Perbuatan mencuri patut dijauhi kerana perbuatan ini akan membawa kepada pergaduhan dalam keluarga. Anak-anak juga melakukan perintah Tuhan iaitu sembahyang dan berbuat baik kepada semua orang. Anak-anak juga mestilah berbaik-baik dengan jiran tetangga kerana jiran tetangga dapat membantu sewaktu dalam kesusahan.

Pihak kerajaan juga boleh memainkan peranan dalam pembentukan keluarga bahagia. Hal Ini kerana kerajaan mempunyai sumber kewangan bagi menjalankan program-program ke arah pembentukan keluarga bahagia. Pihak kerajaan juga boleh menjalankan Kempen Keluarga Bahagia melalui stesen televisyen dan radio yang dimilikinya. Kursus dan Seminar Keluarga Bahagia juga perlu diadakan di setiap daerah, Usaha ke arah pembentukan keluarga bahagia ini mesti dibuat berterusan supaya ia dapat mendatangkan kesan positif yang berpanjangan.

Inginkan Anak Cemerlang? Klik Disini!