JOMRIA.COM

JOMRIA

LANGKAH MEMUPUK AMALAN GAYA HIDUP SIHAT

Pihak ibu bapa mesti memberi pendidikan dan pengajaran kepada anak-anak tentang kebaikan amalan gaya hidup sihat. Masa yang panjang bersama dengan anak-anak menjadikan peranan ibu bapa begitu penting. Oleh itu, ibu bapa mesti menunjukkan contoh yang baik melalui amalan pemakanan dan melakukan aktiviti riadah dalam keluarga. Aktiviti riadah yang dilakukan dalam keluarga juga dapat mengeratkan hubungan dan kasih sayang dalam keluarga secara tidak langsung.

Media massa mempunyai pengaruh yang besar dalam membentuk pemikiran rakyat di negara ini. Justeru, media massa perlulah menjalankan kempen tentang kebaikan amalan gaya hidup sihat. Stesen televisyen pastinya merupakan medium yang paling sesuai kerana ia dapat memberi kesan kepada penonton atau orang ramai. Gaya persembahan kempen perlu diubah untuk memaksimakan kesan dan mengelakkan rasa jemu audiens. Media massa yang dapat membantu dalam memupuk amalan gaya hidup sihat patut diberi ganjaran atau anugerah yang sewajarnya.


Budaya hidup dalam masyarakat juga boleh memberikan kesan kepada golongan muda. Oleh itu, masyarakat hendaklah menunjukkan contoh yang baik kepada golongan muda. Masyarakat yang lebih dewasa mestilah mengamalkan gaya hidup sihat supaya dapat dicontohi oleh golongan muda. Sikap saling mengingati tentang amalan gaya hidup sihat patut disuburkan dalam masyarakat.
Pihak Kementerian Kesihatan juga boleh memainkan peranan yang penting dalam amalan gaya hidup sihat. Kempen-kempen kesedaran mestilah diteruskan sehingga amalan ini dapat menjadi budaya masyarakat. Pihak kementerian juga perlu memperbaiki mutu perkhidmatan di hospital dan menambah peralatan yang canggih. Rakyat pula perlu diseru untuk membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala di hospital. Jika pihak Kementerian Kesihatan dapat bertindak secara proaktif pasti amalan gaya hidup sihat di negara ini semakin bertambah baik.
Selain itu, pihak kerajaan juga perlu memainkan peranan yang penting. Sumber kewangan yang sanyak membolehkan pihak kerajaan membina tempat-tempat riadah untuk rakyat. Pihak kerajaan juga boleh mengurangkan tabiat merokok di kalangan rakyat dengan menaikkan cukai terhadap bahan ini. Cukai yang tinggi ke atas minuman keras juga merupakan satu langkah yang bijak dalam memupuk amalan gaya hidup sihat