JOMRIA.COM

JOMRIA.COM

KEBAIKAN LAWATAN SAMBIL BELAJAR


Lawatan sambil belajar adalah satu aktiviti yang dilakukan oleh pelajar dan guru untuk melawat sesuatu tempat. Lawatan ini biasanya dilakukan pada cuti sekolah dan hujung minggu. Namun demikian, pada masa kini aktiviti lawatan boleh juga dilakukan pada hari persekolahan dengan kebenaran daripada pihak Jabatan Pelajaran Negeri. Pada kebiasaannya ramai pelajar berminat untuk menyertai program lawatan sambil belajar yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Sebenarnya terdapat beberapa kebaikan membuat lawatan sambil belajar.
               
Kebaikan pertama membuat lawatan sambil belajar ialah pelajar dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Lokasi lawatan sambil belajar adalah di tempat yang tidak pernah dikunjungi oleh pelajar. Kebiasaannya pelajar dibekalkan dengan buku catatan dan digalakkan membuat pertanyaan kepada pegawai bertugas di tempat yang dilawati. Tempat-tempat yang sering menjadi tempat lawatan ialah muzium, syarikat percetakan akhbar, kilang-kilang serta bangunan kerajaan. Pengetahuan yang diperolehi ini biasanya lebih kekal lama kerana pelajar menggunakan pelbagai deria untuk mendapatkan maklumat.

Di samping itu, lawatan sambil belajar juga dapat memberikan pengalaman kepada pelajar. Pembelajaran melalui pengalaman ini dapat memberi kesan yang mendalam kepada pelajar. Sesungguhnya pengalaman yang dilalui semasa lawatan sambil belajar tidak dapat dijual beli dengan wang ringgit.
Lawatan sambil belajar juga membolehkan guru menerapkan nilai-nilai murni di kalangan pelajar. Amalan nilai-nilai murni sememangnya penting kepada pelajar agar mereka dapat menjadi pelajar yang cemerlang. Penerapan nilai-nilai murni ini boleh diterapkan oleh guru pengiring secara langsung atau tidak langsung. Antara nilai-nilai murni yang boleh diterapkan oleh guru ialah mematuhi peraturan, menepati masa, bekerjasama dan sebagainya. Contohnya, kemalangan jalan raya yang ditemui oleh pelajar semasa dalam perjalanan pula akan memberi kesedaran kepada pelajar agar mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan.

Selain itu, lawatan sambil belajar juga dapat memberi  semangat kepada pelajar untuk belajar dengan lebih rajin. Bagi sesetengah pelajar, mereke memerlukan suasana yang sebenar bagi mendorong mereka untuk belajar. Sewajarnya tempat-tempat yang dapat memberi motivasi kepada pelajar secara langsung dan tidak langsung menjadi fokasi utama lawatan.

Bagi guru, lawatan sambil belajar merupakan salah satu kaedah pengajaran kepada pelajar. Pengajaran dalam kelas kadang-kadang membosankan pelajar. Dengan adanya program lawatan sambil belajar, pelajar akan berasa seronok di samping mendapat pengalaman baru. Bagi mencapai objektif pengajaran melalul lawatan, guru mestilah membuat persediaan yang rapi sebelum dan semasa lawatan. Setelah lawatan selesai, sewajarnya pelajar disuruh menulis laporan lawatan atau membuat karangan tentang pengalaman semasa lawatan.

No comments:

Post a Comment