Amalan Berjimat Cermat Yang Perlu Dipupuk Dalam Masyarakat

Sejak dari zaman dahulu amalan berjimat cermat ini sering diperkatakan kerana amalan ini boleh memberi pelbagai kebaikan dalam hidup kita. Sikap berjimat cermat ini akan memberikan kebaikan kepada kita semua dalam jangka masa pendek dan juga jangka masa panjang. Terdapat beberapa amalan berjimat cermat yang boleh kita lakukan dalam kehidupan demi kesejahteraan hidup.

Menjimatkan Masa
‘Masa itu emas’. Orang yang pandai menjimatkan masa lazimnya akan berjaya dalam kehidupannya. Oleh itu, sewajarnya kita menggunakan masa yang ada ini dengan sebaik mungkin. Kejayaan kita menguruskan masa dengan baik, akan menentukan kualiti hidup dan imej diri kita. Antara aktiviti yang baik dan berfaedah untuk memenuhi masa lapang yang kita miliki ialah menuntut ilmu, bekerja dan membuat kerja-kerja amal terhadap masyarakat.
Menjimatkan Wang
Sesungguhnya, wang amat penting dan diperlukan oleh semua manusia dalam kehidupan seharian. Kebiasaannya, seseorang akan memperoleh wang setelah melakukan sesuatu pekerjaan. Seseorang yang mengamalkan sikap berjimat cermat akan menggunakan wang yang diperolehinya untuk perkara yang benar-benar perlu sahaja seperti tempat tinggal, makanan dan perubatan. Biasanya orang yang berjimat cermat akan berbelanja secara sederhana sahaja.   

Menjimatkan Penggunaan Air
Kita juga mesti berjimat cermat dalam penggunaan air. Dengan berjimat dalam penggunaan air, kita dapat menjauhkan perbuatan membazir dan berjimat dalam pembayaran bil air. Perbuatan membazir air hanya akan meningkatkan kos hidup dan membebankan kerajaan untuk mencari sumber air yang baru berikutan sumber air kita yang semakin berkurangan. Jika kita mandi atau membasuh kereta, pastikan air paip tidak dibiarkan mengalir jika tidak digunakan.

Menjimatkan Elektrik
Penggunaan elektrik semakin penting dalam kehidupan kita. Kehidupan harian kita pasti akan terganggu  dan bermasalah jika tiada bekalan elektrik. Oleh sebab tenaga elektrik yang kita gunakan perlu dibayar, maka sudah pastinya kita perlu berjimat. Antara contoh amalan berjimat cermat dalam penggunaan elektrik di rumah ialah memadamkan lampu dan kipas yang tidak digunakan.

Menjimatkan Penggunaan Telefon
Dalam kehidupan masa kini, penggunaan telefon sudah menjadi satu keperluan. Penggunaan telefon memang banyak kebaikannya. Walaupun begitu, kita hendaklah berjimat cermat dalam penggunaannya. Kajian mendapati pengguna telefon bimbit telah meningkat dengan mendadak di kalangan rakyat. Keadaan ini pastinya akan menambah kos hidup seseorang. Sebaik-baiknya, kita menggunakan telefon jika perlu sahala seperti urusan kerja dan kecemasan.
Amalan Berjimat Cermat Yang Perlu Dipupuk Dalam Masyarakat Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Jomria Network
Blogger Widget