KEBAIKAN KEDAI RAKYAT 1 MALAYSIA (KR1M)

Berpandukan slogan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, kerajaan negara ini sentiasa berusaha untuk meringankan beban rakyat. Pelbagai langkah telah diambil untuk memberikan kemudahan kepada rakyat, terutamanya yang berkaitan dengan keperluan harian. Oleh itu, kerajaan telah menubuhkan Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) di seluruh negara. KR1M ini tentunya memberikan kebaikan yang banyak kepada rakyat negara ini.

Kedai Rakyat 1 Malaysia menawarkan harga barang yang lebih murah berbanding dengan kedai biasa. Perkara ini tentunya menjimatkan perbelanjaan rakyat, terutamanya untuk membeli barang-barang keperluan harian seperti tepung, gula, susu, sabun, dan sebagainya. Harga barang tersebut lebih rendah kerana kerajaan telah memberikan subsidi terhadap barang tersebut. Jadi, rakyat boleh menjimatkan perbelanjaan mereka dengan membeli barang di Kedai Rakyat 1Malaysia.

Selain itu, KR1M akan mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat negara ini. Hal ini demikian kerana, perbelanjaan dapat dijimatkan kerana barangan yang dijual di kedai tersebut lebih murah daripada kedai biasa. Oleh itu, wang yang dijimatkan itu boleh digunakan untuk keperluan lain yang diperlukan oleh sesebuah keluarga. Di samping itu, sesebuah keluarga dapat menyedari kepentingan amalan berjimat cermat demi mengurangkan bebanan keluarga mereka.

Di samping itu, Kedai Rakyat 1Malaysia menyediakan barang-barang yang berkualiti kepada rakyat. Barang-barang tersebut akan dipastikan kualitinya terjamin walaupun harganya lebih murah daripada barang-barang di kedai biasa. Perkara ini menunjukkan bahawa kerajaan mementingkan aspek kualiti barangan demi kepentingan rakyat bersesuaian. Oleh itu, rakyat tidak perlu bimbang atau ragu akan kualiti barangan yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia ini.

Kedai Rakyat 1Malaysia berupaya untuk menurunkan kadar inflasi negara kita. Kadar inflasi akan dapat dikawal kerana harga barangan di Kedai Rakyat 1Malaysia ini akan dikawal oleh kerajaan. Selain itu, harga barang tidak akan dinaikkan sesuka hati kerana kebenaran kerajaan diperlukan sebelum harga sesuatu barang itu dinaikkan. Kerajaan sanggup memberikan subsidi yang banyak untuk kebajikan rakyat. Perkara ini membuktikan usaha kerajaan untuk memperjuangkan dan membela nasib rakyat negara ini.

Sesunggunya, usaha untuk membantu rakyat perlu diteruskan oleh kerajaan. Usaha ini semestinya menjadi tanggungjawab kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat. Jadi, kerajaan perlu rnenambahkan bilangan Kedai Rakyat 1Malaysia ini ke seluruh negara. Oleh itu, kebajikan rakyat akan terus terpelihara dan kehidupan rakyat akan kekal harmoni tanpa kongkongan harga barang dan inflasi yang tinggi. Dengan usaha dan langkah yang dijalankan oleh kerajaan itu, negara kita akan kekal makmur dan maju hingga Wawasan 2020 akan tercapai berdasarkan perancangan yang disusun oleh kerajaan dengan rapi.
KEBAIKAN KEDAI RAKYAT 1 MALAYSIA (KR1M) Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Jomria Network
Blogger Widget