KEBAIKAN MENGADAKAN KITAR SEMULA

Pihak kerajaan dan kerjasama NGO giat melaksanakan kempen kitar semula di kalangan masyarakat sejak beberapa tahun yang lalu. Walau bagaimanapun,  program kitar semula ini masih belum mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada masyarakat. Namun usaha menyedarkan masyarakat mengenai kebaikan kitar semula perlu dipergiatkan lagi. Terdapat beberapa kebaikan program kitar semula diperkenalkan kepada masyarakat.

Antara kebaikan program kitar semula ialah kita dapat mengelakkan pencemaran alam sekitar. Melalui program kitar semula, bahan-bahan buangan seperti kertas, kaca dan plastik akan dikumpulkan dan dihantar ke kilang kitar semula. Oleh itu, alam sekitar akan menjadi bersih kerana bahan buangan tidak dibuang sesuka hati ke dalam sungai, laut atau semak. Sesungguhnya, alam sekitar yang bersih akan menghindarkan kita daripada penyakit yang dibawa oleh nyamuk, lipas dan tikus.

Selain itu, program kitar semula dapat menambahkan pendapatan kita. Bahan--bahan buangan seperti plastik, kertas dan besi ada harganya di pasaran. Kita akan memperolehi wang apabila menjual barang-barang ini kepada pihak kilang kitar semula. Wang yang kita perolehi ini boleh digunakan untuk membeli barang-barang keperluan harian kita.

Dengan melakukan aktiviti kitar semula, kita juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Antara nilai-nilai murni tersebut ialah berjimat cermat, bertanggungjawab dan mencintai alam sekitar. Melalui amalan berjimat cermat, kita akan menggunakan bekas plastik sehingga rosak dan tidak membazir. Melalui amalan bertanggungjawab pula, kita akan mengitar semula barangan yang boleh dikitar semula dan tidak akan membuangnya ke dalam semak atau ke dalam sungai.

Di samping itu, kita dapat menjimatkan sumber alam yang semakin berkurangan. Dengan aktiviti kitar semula kertas-kertas lama, kita dapat mengelakkan penebangan pokok bagi menghasilkan kertas. Kitar semula besi buruk pula dapat mengelakkan logam besi cepat habis. Bagi bahan plastik pula, kita bukan sahaja dapat menjimatkan sumber untuk membuat bahan plastik tetapi kita juga dapat mengelakkan kesan buruk daripada bahan kimia yang dihasilkannya.

Aktiviti kitar semula juga dapat membuka satu lagi peluang pekerjaan kepada rakyat di kilang kitar semula. Secara tidak langsung aktiviti ini juga dapat mengurangkan kadar pengangguran di kalangan rakyat. Sesungguhnya, rakyat yang mempunyai pekerjaan akan dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Rakyat yang mempunyai pekerjaan juga akan terhindar daripada melakukan masalah sosial seperti mencuri dan merompak.

Aktiviti kitar semula mendatangkan banyak kebaikan kepada rakyat dan negara. Oleh itu, semua pihak mesti berganding bahu untuk menjayakan aktiviti kitar semula. Kempen  kitar semula mesti diteruskan oleh pihak kerajaan agar dapat memberikan kesedaran yang berpanjangan kepada masyarakat. Pihak sekolah pula wajar menjadikan aktiviti kitar semula sebagal program tahunan sekolah untuk memupuk amalan kitar semula di kalangan pelajar.
KEBAIKAN MENGADAKAN KITAR SEMULA Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Jomria Network
Blogger Widget