Sekolah
memainkan peranan penting untuk mendidik para pelajar. Namun adakalanya semasa
belajar di sekolah pelajar tidak terlepas dalam melakukan masalah displin.
Malah pada suatu ketika masalah disiplin pelajar
ini dikatakan semakin serius dan bertambah setiap tahun.
Isu disiplin pelajar ini tidak harus dipandang ringan oleh ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhannya. Jika masalah
disiplin pelajar ini tidak ditangani, pasti banyak pihak akan menghadapi masalah. Sebenarnya terdapat beberapa jenis
kesalahan yang sering dilakukan oleh pelajar di sekolah.
PONTENG KELAS
Antara jenis
kesalahan yang sering dilakukan oleh pelajar sekolah ialah ponteng kelas.
Pelajar yang ponteng kelas ini akan melepak atau bersembunyi di tempat tertentu
di dalam kawasan sekolah. Pelajar juga kerap ponteng kelas apabila sesuatu mata
pelajaran tersebut tidak disukai atau mereka
tidak menyukai guru mata pelajaran tersebut. Kegiatan ponteng kelas ini
perlu ditangani dengan segera oleh pihak sekolah kerana ia boleh mendatangkan
kesan buruk kepada suasana pembelajaran di
sekolah.
VANDALISME
Kesalahan
lain yang sering dilakukan oleh pelajar ialah vandalisme atau perbuatan
merosakkan Harta benda sekolah.
Sewajarnya semua pelajar menjaga harta benda sekolah dengan baik kerana kerajaan
telah mengeluarkan wang yang banyak untuk menyediakan kemudahan sekolah.
Kemudahan yang dirosakkan oleh segelintir
pelajar akan mendatangkan masalah kepada pelajar lain. Antara harta benda sekolah yang selalu dirosakkan oleh pelajar
ialah kemudahan yang ada dalam tandas seperti kepala paip dipatahkan dan pintu tandas dipecahkan. Sikap pelajar yang
suka merosakkan harta benda sekolah
ini perlu dihentikan oleh pihak sekolah kerana sikap ini akan mendatangkan
pelbagai masalah dan pihak sekolah akan mengalami kerugian.
BERGADUH
Di samping itu,
pergaduhan juga merupakan kesalahan yang sering dilakukan oleh pelajar. Antara sebab berlakunya pergaduhan di sekolah ialah tuduh-menuduh antara pelajar
akibat kehilangan sesuatu seperti wang
atau barang berharga. Pergaduhan boleh mengakibatkan kecederaan yang akan menyebabkan pihak sekolah terpaksa menghantar pelajar
berkenaan ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan membuat laporan bertulis
kepada Jabatan Pelajaran. Oleh itu, pihak sekolah mestilah membanteras
sikap suka bergaduh di kalangan pelajar terutama pergaduhan yang melibatkan
kaum.
MEROKOK
Terdapat
juga pelajar yang merokok di sekolah. Pelajar yang merokok sebenarnya telah melanggar peraturan sekolah dan boleh dibuang sekolah jika
tertangkap. Pelajar yang merokok ini biasanya mempunyai tahap
disiplin yang lemah dan selalu mendatangkan masalah Selain itu, terdapat juga pelajar yang sering datang lewat ke sekolah
atau ponteng sekolah. Kebanyakkan
pelajar yang datang lambat disebabkan mereka tidur lewat. Terdapat juga pelajar
yang datang lewat kerana mereka menghisap rokok di tempat tertentu
terlebih dahulu sebelum masuk sekolah.