Lawatan sambil belajar
adalah satu aktiviti yang dilakukan oleh pelajar dan guru untuk melawat sesuatu
tempat. Lawatan ini biasanya dilakukan pada cuti sekolah dan hujung minggu. Pada kebiasaannya ramai pelajar berminat untuk
menyertai program lawatan sambil belajar yang dianjurkan oleh pihak sekolah.
Sebenarnya terdapat beberapa kebaikan membuat
lawatan sambil belajar.
# Menambah Ilmu Pengetahuan
Kebaikan
pertama membuat lawatan sambil belajar ialah pelajar dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Lokasi lawatan
sambil belajar adalah di tempat yang tidak pernah dikunjungi oleh pelajar.
Kebiasaannya pelajar dibekalkan dengan buku catatan dan digalakkan membuat
pertanyaan kepada pegawai bertugas di tempat yang dilawati. Tempat-tempat yang
sering menjadi tempat lawatan ialah muzium,
syarikat percetakan akhbar, kilang-kilang serta bangunan kerajaan. Pengetahuan yang
diperolehi ini biasanya lebih kekal lama kerana pelajar menggunakan pelbagai
deria untuk mendapatkan maklumat.
# Menimba Pengalaman Baru
Di
samping itu, lawatan sambil belajar juga dapat memberikan pengalaman kepada
pelajar. Pembelajaran melalui pengalaman ini dapat memberi kesan yang mendalam
kepada pelajar. Sesungguhnya pengalaman yang dilalui semasa lawatan sambil belajar
tidak dapat dijual beli dengan wang ringgit.
# Menerapkan Nilai-Nilai Murni
Lawatan
sambil belajar juga membolehkan guru menerapkan nilai-nilai murni di kalangan pelajar.
Amalan nilai-nilai murni sememangnya penting kepada pelajar agar mereka dapat menjadi
pelajar
yang cemerlang. Penerapan nilai-nilai murni ini boleh diterapkan oleh guru
pengiring secara langsung atau tidak langsung. Antara nilai-nilai murni yang
boleh diterapkan oleh guru ialah mematuhi peraturan,
menepati masa, bekerjasama dan sebagainya. Contohnya, kemalangan jalan raya
yang ditemui oleh pelajar semasa dalam perjalanan pula akan memberi
kesedaran kepada pelajar agar mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan.
# Memberi Semangat Kepada Pelajar
Selain itu, lawatan sambil belajar juga dapat memberi semangat kepada pelajar untuk belajar
dengan lebih rajin. Bagi sesetengah pelajar, mereke memerlukan suasana yang
sebenar bagi mendorong mereka untuk belajar. Sewajarnya tempat-tempat yang
dapat memberi motivasi kepada pelajar secara
langsung dan tidak langsung menjadi fokasi utama lawatan.
# Kaedah Pengajaran Kepada Pelajar
Bagi guru, lawatan sambil
belajar merupakan salah satu kaedah pengajaran kepada pelajar. Pengajaran dalam
kelas kadang-kadang membosankan pelajar. Dengan adanya program lawatan sambil
belajar, pelajar akan berasa seronok di samping mendapat pengalaman baru. Bagi
mencapai objektif pengajaran melalul
lawatan, guru mestilah membuat persediaan yang rapi sebelum dan semasa
lawatan. Setelah lawatan selesai, sewajarnya pelajar disuruh menulis laporan
lawatan atau membuat karangan tentang pengalaman semasa lawatan.