SEBAB MENDORONG TABIAT MASYARAKAT MEROKOK SEMAKIN MENINGKAT



Isu tabiat merokok kerap menjadi bahan perbincangan pengamal perubatan, pihak kerajaan dan masyarakat secara umumnya. Isu ini menjadi bahan perbincangan kerana dari setahun ke setahun, jumlah pesakit akibat tabiat merokok semakin meningkat. Pertambahan pesakit ini menyebabkan beban kewangan kerajaan juga bertambah. Jika  isu tabiat merokok tidak ditangani dengan segera, pasti taraf kesihatan rakyat akan bertambah buruk. Jika diteliti terdapat beberapa sebab yang mendorong kepada berlakunya tabiat merokok dalam masyarakat semakin meningkat.

SIKAP INGIN MENCUBA
Sikap ingin mencuba merupakan antara faktor terjadinya tabiat merokok. Tabiat mencuba untuk menghisap rokok adalah tabiat yang perlu dihindarkan kerana di dalam rokok terdapat banyak bahan kimia yang boleh membahayakan kesihatan pada jangka masa panjang. Sikap ingin mencuba menghisap rokok akan membuatkan seseorang itu akan terus merokok seterusnya mereka akan ketagih. Apablia tidak dapat menghisap rokok, jiwa seseorang perokok itu berasa tidak tenteram dan resah.

PENGARUH RAKAN SEBAYA
Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga boleh mendorong seseorang untuk menjadi perokok. Rakan yang merokok pasti akan mempelawa rakan yang tidak merokok untuk turut merokok. Lazimnya, mereka akan menerima pelawaan merokok tersebut kerana takut dianggap tidak pandai bergaul atau tidak pandai berkawan. Akhirnya, seseorang yang tidak merokok akan kekal menjadi perokok sehinggalah mereka jatuh sakit atau mati. Selain itu, pengaruh merokok ini juga boleh datang daripada sikap ahli keluarga yang merokok.

PENGARU IKLAN ROKOK
Iklan yang terdapat di tempat-tempat tertentu juga boleh mempengaruhi tabiat merokok. Dalam kebanyakan iklan ini, perokok digambarkan sebagai seseorang yang hebat dan bergaya. Namun pada realitinya, perokok sebenarnya sering dilanda masalah. Antara masalah yang sering melanda perokok ialah harga rokok yang semakin tinggi dan mereka sering diserang pelbagai penyakit yang berbahaya akibat merokok.


ROKOK UNTUK MENDAPATKAN KETENANGAN DIRI
Tabiat merokok juga dikatakan sebagai alat untuk mendapatkan ketenangan diri. Kononnya individu yang merokok akan berasa tenang hidupnya jika dapat merokok setiap hari. Oleh itu, tidak hairanlah terdapat perokok yang menghisap rokok yang banyak  setiap hari. Bagi sesetengah orang, mereka berpendapat tabiat merokok boleh menjadikan minda mereka cergas dan dapat menghasilkan idea-idea yang baru. Namun, realitinya apa yang dirasai oleh perokok itu hanyalah khayalan belaka dan merokok sebenarnya hanya mendatangkan keburukan kepada perokok.


SIKAP PEROKOK TIDAK MEMENTINGKAN KESIHATAN
Sikap perokok yang mengambil mudah tentang kesihatan diri juga menjadi penyebab kepada tabiat merokok. Perokok beranggapan jika mereka sakit, ada hospital yang boleh memberikan rawatan. Ada sesetengah perokok pula tidak percaya bahawa tabiat merokok boleh memendekkan hayat seseorang.
SEBAB MENDORONG TABIAT MASYARAKAT MEROKOK SEMAKIN MENINGKAT Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Jomria Network
Blogger Widget