KEBAIKAN DAN KEBURUKAN INTERNET

Umumnya, internet merupakan teknologi asas dalam pembangunan teknologi maklumat. Kini, internet merupakan salah satu saluran rangkaian penghubung dunia yang telah mengecilkan dunia. Dunia kini seolah-olah telah tiada sempadan. Melalui internet manusia dapat berhubung antara satu sama lain dengan pantas walaupun jaraknya beribu batu. Walau bagaimanapun terdapat segelintir manusia menyalahgunakan internet  sehingga menjadi saluran yang boleh membawa kemudaratan.

Internet merupakan saluran ilmu pengetahuan kepada semua pengguna. Melalui internet pelbagai pengetahuan terkini dapat disalurkan dengan mudah. Internet merupakan khazanah ilmu yang membantu berjuta-juta pelajar untuk mendapatkan maklumat dalam proses pembelajaran dan penyelidikan. Tugas setiap manusia dapat  dipermudah melalui penggunaan internet yang membekalkan pelbagai ilmu terkini dan mudah. Banyak perkembangan sains dan teknologi serta ilmu canggih dipaparkan dalam internet. Ia juga membantu dalam proses penyelidikan dan pembangunan.

   
Selain itu, internet merupakan saluran komunikasi antarabangsa. Teleperubatan telah diwujudkan oleh manusia dengan adanya internet. Pakar-pakar perubatan dapat berkomunikasi dan berinteraksi dengan adanya internet. Pelbagai pembedahan dan diagnosis dimungkinkan melalui internet. Komunikasi dalam aspek ekonomi dan politik pula dapat dimungkinkan dengan telekonferens. Ini memudahkan sesuatu urusan komunikasi dalam usaha membuat keputusan tanpa pergi ke sesuatu tempat. Di samping itu, pendidikan jarak jauh juga dapat dijalankan dengan adanya kemudahan internet. Internet ini memberi faedah kepada pelbagai lapisan masyarakat untuk melanjutkan pengajian mereka tanpa menjejakkan kaki ke menara gading.

Internet juga memudahkan urusan harian manusia di mana pembayaran bil elektrik, air, kad kredit dan bil-bil lain dapat dilakukan dengan mudah. Hubungan dengan agensi-agensi kerajaan dan badan-badan pendidikan antarabangsa untuk memohon kemasukan ke kursus pengajian atau peluang kerja dapat dibuat melalui internet. Urusan menerusi internet bukan sahaja menjimatkan masa, tetapi juga dapat memastikan kesesakan lalu lintas dan tekanan kerja dapat diuruskan dengan mudah.

Walau bagaimanapun, internet juga memudaratkan manusia jika disalahgunakan. Kemudahan ini boleh digunakan untuk menceroboh dan mengganggu seperti `hacking’ yang kini banyak berlaku. Laman-laman web kerajaan mudah diceroboh untuk tujuan mengganggu. Keselamatan negara juga sukar dikawal kerana segalanya dihubungkan melalui rangkaian antarabangsa. Beberapa tahun kebelakangan inn, pusat keselamatan negara Amerika Syarikat, Pentagon diceroboh oleh seorang kanak-kanak berusia dua belas tahun. Ini memudaratkan aspek keselamatan negara dan dunia.

Selain itu, virus komputer yang menjadi bahan bualan sejak kebelakangan ini juga disebarkan melalui internet. Kini, banyak virus komputer yang dicipta boleh mengakibatkan data-data dalam komputer hilang dan ada juga virus yang mengakibatkan kerosakan komputer. Ini akan mengakibatkan sesebuah syarikat atau agensi kerajaan lumpuh kerana sistem dan data-data mereka terganggu. Aspek kesihatan juga dikaitkan dengan penggunaan internet. Seseorang yang menggunakan komputer akan duduk di hadapan skrin komputer untuk tempoh masa yang lama. Ini akan membawa masalah kesihatan seperti penyakit mata, sakit tulang belakang dan sebagainya.

Kesimpulannya, internet mempunyai banyak kebaikan dan keburukan. Para pengguna perlu memahami kegunaan internet dan memastikan is digunakan untuk kebaikan sahaja. Kawalan dan pengawasan ibu bapa dan guru adalah penting agar generasi muda memanfaatkan internet demi melahirkan masyarakat berilmu di negara ini.

KEBAIKAN DAN KEBURUKAN INTERNET Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Jomria Network
Blogger Widget