KEBAIKAN MENGGUNAKAN PENGANGKUTAN AWAM

Terdapat beberapa kebaikan penggunaan pengangkutan awam di Malaysia.



Mengurangkan Kesesakan Jalan Raya
Kebaikan pertama penggunaan pengangkutan awam ialah dapat mengurangkan kesesakan jalan raya. Penggunaan pengangkutan awam ini amat penting di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Kerajaan telah menyediakan dan membina pelbagai jenis pengangkutan awam di Kuala Lumpur. Antara pengangkutan awam yang terdapat di Kuala Lumpur ialah perkhidmatan teksi, bas, monorel dan LRT. Penggunaan pengangkutan awam ini telah dapat mengurangkan kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur terutama pada waktu pagi dan petang.



Selamat Digunakan
Selain itu, penggunaan pengangkutan awam juga lebih selamat kepada pengguna. Penggunaan bas umpamanya lebih selamat daripada penggunaan motosikal atau kereta apabila berlaku sesuatu kemalangan. Contohnya, jika seseorang itu mempunyai urusan di bandar raya Kuala Lumpur, dia tidak perlu memikirkan tentang keselamatan kenderaan yang dibawanya jika ia menggunakan pengangkutan awam. Hal inl demikian kerana di bandar raya Kuala Lumpur, sering berlaku kecurian kenderaan di tempat letak kereta. Selain itu, penggunaan pengangkutan awam bukan sahaja selamat tetapi dapat memudahkan pergerakan seseorang.

Menjimatkan Kos
Penggunaan pengangkutan awam juga membolehkan seseorang menjimatkan kos hidup. Hal ini kerana pengguna tidak perlu membeli minyak kenderaan apabila menggunakan pengangkutan awam. Pengguna pengangkutan awam juga tidak perlu memikirkan kos perkhidmatan meletakkan kenderaan. Selain itu, dengan menggunakan pengangkutan awam juga membolehkan seseorang itu mempunyai lebihan pendapatan untuk tabungan atau pendidikan kerana dia tidak perlu membayar ansuran kenderaan, petrol, insurans kenderaan dan kos servis kenderaan. Terdapat juga perkhidmatan pengangkutan yang dibayar secara bulanan dan ini lebih menjimatkan lagi kos hidup seseorang.

Menjimatkan Tenaga
Di samping itu, penggunaan pengangkutan awam juga akan dapat menjimatkan tenaga. Jika seseorang itu tinggal di Johor Bahru dan dia ada urusan di Kuala Lumpur, perkhidmatan kereta api atau bas adalah baik untuknya. Dengan menaiki bas atau kereta api, seseorang itu akan dapat menjimatkan tenaga yang digunakan untuk memandu. Tenaga yang dijimatkan Ini boleh dIgunakan untuk membuat kerja-kerja lain seperti menulis atau membaca buku. Selain itu, seseorang yang menggunakan pengangkutan awam juga akan berasa lebih segar dan ceria jika dibandingkan dengan orang yang memandu kenderaan sendiri.

Menjimatkan Masa
Pengguna pengangkutan awam juga dapat menjimatkan masa. Contohnya, penggunaan kapal terbang akan menjimatkan masa perjalanan jika dibandingkan dengan memandu kenderaan sendiri.  Menaiki relbus atau monorel juga lebih menjimatkan masa jika dibandingkan dengan menaiki kenderaan sendiri yang memungkinkan kita terlibat dalam kesesakan jalan raya.
KEBAIKAN MENGGUNAKAN PENGANGKUTAN AWAM Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Jomria Network
Blogger Widget