KEBAIKAN SEKTOR PERINDUSTRIAN KEPADA NEGARA

Malaysia adalah negara yang sedang membangun dan maju menjelang tahun 2020. Sektor perindustrian merupakan penjana utama perkembangan ekonomi negara pada masa kini. Dengan menjadi negara yang maju dalam sektor perindustrian, imej negara pasti lebih cemerlang di mata dunia. Terdapat beberapa kebaikan sektor perindustrian kepada negara.


Meningkatkan Pendapatan Negara
Kebaikan pertama sektor perindustrian kepada negara ialah dapat meningkatkan pendapatan negara. Pelbagai jenis barangan perindustrian yang terdapat di dalam negara membolehkan negara mengeksport barangan keluaran tempatan ke luar negara. Barangan industri boleh dijual dengan harga yang mahal jika dibandingkan dengan hasil pertanian. Antara barangan yang banyak dieksport ke luar negara ialah barangan elektrik seperti televisyen, radio dan komponen komputer. Selain itu, pihak kerajaan juga dapat meningkatkan pendapatan melalui sistem pencukaian pihak kastam.

Membuka Peluang Pekerjaan
Di samping itu, perindustrian juga dapat membuka peluang pekerjaan kepada rakyat. Dengan wujudnya banyak kilang pembuatan, maka peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia semakin bertambah. Malah, kepesatan perindustrian di Malaysia telah mendorong rakyat negara lain untuk berhijrah ke Malaysia untuk mendapatkan pekerjaan. Antara rakyat negara luar yang berhijrah untuk mendapatkan pekerjaan di Malaysia ialah rakyat Indonesia, Bangladesh, Vietnam dan Nepal. Sesungguhnya, peluang pekerjaan yang banyak ini menjadikan taraf hidup rakyat Malaysia semakin meningkat.

Merangsang Sektor Pertanian Negara
Selain itu, sektor perindustrian akan merangsang sektor pertanian negara.Sesungguhnya, sektor pertanian negara akan lebih maju dengan penggunaan jentera moden dan biji benih yang bermutu tinggi. Selain itu, hasil pertanian negara dapat diproses menjadi bahan kedua yang lebih berharga dan mendatangkan lebih banyak keuntungan. Sebagai contoh dalam penanaman kelapa sawit, minyak kelapa sawit telah dijadikan bahan kedua yang lebih berharga. Kemajuan sektor perindustrian juga membolehkan pelbagai barangan berasaskan pertanian dihasilkan untuk dieksport ke luar negara.

Meningkatkan Imej Negara
Kemajuan sektor perindustrian juga membolehkan negara kita dianggap sebagai negara yang maju. Hal ini kerana, antara ciri negara maju ialah mempunyal sektor perindustrian yang maju. Pada masa yang sama, sektor perindustrian merangsang perkembangan sistem pengangkutan negara. Pada masa kini, semakin banyak pelabuhan dan lapangan terbang dibina bagi membolehkan barangan industri dieksport ke negara lain. Justeru, sistem jalan darat seperti lebuh raya pula semakin banyak dibina bagi memudahkan urusan sektor perindustrian.

Meningkatkan Pendapatan Kerajaan
Sektor perindustrian juga dapat menambahkan pendapatan kerajaan melalui pelbagai kutipan cukal. Antara cukai tersebut ialah cukai pendapatan dan cukai barangan eksport dan import. Kutipan cukai yang banyak membolehkan kerajaan menjalankan projek-projek pembangunan seperti jalan raya dan membayar gaji pegawai kerajaan. Pendapatan negara yang bertambah ini juga membolehkan pihak kerajaan mengindahkan negara dengan membuat lebih banyak tempat pelancongan yang dapat menarik lebih ramai pelancong datang ke Malaysia. Pendapatan negara yang banyak juga membolehkan negara mempunyai rizab awam yang kukuh dan menjadi negara yang bebas daripada beban hutang.
KEBAIKAN SEKTOR PERINDUSTRIAN KEPADA NEGARA Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Jomria Network
Blogger Widget