KEPENTINGAN MENJAGA KEMUDAHAN AWAM



Antara kemudahan awam yang terdapat dalam negara ialah tandas awam, hospital, balai  bomba, taman permainan dan telefon awam. Segala kemudahan awam yang telah dibina oleh kerajaan  ini perlu dijaga dengan baik.

Mengurangkan Kos Perbelanjaan Kerajaan
Antara sebab kemudahan awam perlu dijaga dengan baik ialah dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan kerana kos membina kemudahan awam adalah tinggi dan memerlukan masa yang lama. Sebagai contoh, pembinaan hospital memerlukan belanja sehingga berpuluh-puluh juta ringgit. Perbelanjaan membina lapangan terbang juga memerlukan perbelanjaan sehingga ratusan juta ringgit iaitu seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Perbelanjaan yang tinggi ini wajar dihargai oleh rakyat dengan menjaga kemudahan awam tersebut. Oleh yang demikian, sewajarnya rakyat menggunakan kemudahan awam yang dibina dengan baik. 


Mengurangkan Kos Membaiki Kerosakan
Kebaikan seterusnya ialah kerajaan juga dapat mengurangkan kos memperbaiki kerosakan kemudahan awam kerana jika berlaku kerosakan, kos untuk membaiki kerosakan tersebut adalah tinggi. Jika tiada kerosakan kemudahan awam, maka wang tersebut boleh dibelanjakan untuk membina kemudahan awam yang lain. Di samping itu, kerajaan juga boleh menggunakan wang yang  lain untuk membina sekolah baru yang dapat memberi pendidikan kepada generasi akan datang. Namun begitu, kemudahan awam yang telah lama wajar diganti dengan yang baru untuk kegunaan rakyat. Adalah sesuatu yang mendukacitakan dan suatu pembaziran wang kerajaan jika kemudahan awam yang baru dibina perlu diganti kerana perbuatan vandalisme.

Supaya Tidak Menyusahkan Orang Ramai
Kemudahan awam yang rosak akan mendatangkan masalah kepada orang ramai dan begitulah sebaliknya. Setiap kemudahan awam yang dibina ada fungsinya yang tersendiri. Kerosakan telefon yang akan menyebabkan rakyat tidak dapat menggunakan kemudahan tersebut apabila berlaku sesuatu kecemasan seperti kebakaran dan kemalangan. Manakala kerosakan pili bomba akan memberi kesulitan kepada pihak bomba apabila berlaku kebakaran. Tandas awam yang rosak pula akan menyusahkan pengguna.

Medium Untuk Merapatkan Hubungan Keluarga Dan Kaum
Kemudahan awam juga perlu dijaga kerana ada antara kemudahan awam yang disediakan oleh kerajaan dapat merapatkan hubungan kekeluargaan dan kaum. Sebagai contoh, padang dan taman permainan merupakan tempat seisi keluarga beriadah. Kerosakan alat permainan kanak-kanak akan menyebabkan kanak-kanak tidak boleh bermain dan bergembira. Manakala ibu bapa pula tidak dapat beriadah dan merehatkan minda kerana anak tidak berasa seronok ketika berada di taman permainan tersebut dan terpaksa pulang sahaja ke rumah. Selain itu, padang dan taman permainan yang baik sempurna juga boleh menjadi tempat pelbagai kaum bertemu untuk beriadah.

Gambaran Positif Rakyat Malaysia
Kemudahan awam yang dijaga dengan baik akan memberi gambaran positif tentang sikap rakyat. Jika banyak kemudahan awam yang rosak, maka para pelancong akan beranggapan rakyat malaysia tidak mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka. Dalam usaha kerajaan untuk memajukan sektor pelancongan, seharusnya rakyat mesti memberi kerjasama untuk menjaga kemudahan-kemudahan awam. Di tempat-tempat yang menjadi pintu untuk pelancong pula kemudahan awamnya mestilah bertaraf dunia supaya pelancong berasa seronok  dan akan datang lagi ke Malaysia. Ia sekaligus dapat meningkatkan perkembangan industri pelancongan.
KEPENTINGAN MENJAGA KEMUDAHAN AWAM Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Jomria Network
Blogger Widget