TAK JEMU BERUSAHA MENJALANKAN BISNES BAKERI


gigih-bisnes-bakeri
Kecekalan dan ketabahan Saleha Shariman, 54, memang memberi inspirasi. Kekuatan datang daripada dirinya sendiri. Dia yang mahu mencapai kejayaan. Dia tidak kisah apa orang kata selagi perjalanannya benar dan untuk kebaikan dirinya sendiri. Dia tidak kenal putus asa. Dia kini boleh bernafas lega melihat apa yang ditanamnya membuahkan hasil.

Wanita bertubuh kecil ini sebenarnya berasal dari Kuala Lumpur. Namun kira-kira 28 tahun lalu, dia berhijrah ke Pulau Langkawi kerana mengikut suaminya yang bertugas di situ. Penghijrahan yang membuka lembaran baru dalam hidupnya. Sejak itu, Langkawi menjadi kampung halamannya sementelah dia juga membesarkan keluarganya di situ.

Paling penting, Langkawi juga tempat dia membina empayar perniagaan bakeri, Saleha Bakery yang kini sudah berusia 18 tahun.

Sekiranya anda ke Langkawi dan mahu mendapat-kan roti dan kek halal, kedai Saleha memberi pilihan yang begitu banyak sekali. Ia bukan hanya tumpuan masyarakat tempatan, tetapi juga pelancong tempatan dan luar. Berada di kedai kek Saleha, memang kita rambang mata hendak membuat pilihan.

Ibu dua anak dan tiga cucu itu memang meminati bidang masakan sejak di bangku sekolah lagi. Walaupun pernah bekerja, apabila berada di tempat baru, Saleha tidak mahu melupakan minat mendalamnya dalam dunia masakan. Di samping itu, dia juga mahu mempunyai pendapatannya sendiri.

Bermulalah Saleha membuat roti dan menghantarnya ke kedai. Pendapatan awal waktu itu boleh mencecah RM600 hingga RM700 sehari. Itu membuatkan semangat wanita ini semakin meningkat dan meneruskan langkahnya. Namun perjalanannya bukanlah mudah.

Buang 15kg tepung

"Tak mudah hendak mencapai ke tahap ini. Ketika pada awal perniagaan dulu, persaingan dengan bangsa lain memang sukar. Orang kita pula masa itu memang lebih memilih hasil bakeri bukan Melayu. Waktu itu dapat menjual empat hingga lima kek saja sehari. Bukan senang hendak senang. Semangat kena kuat.

"Dulu, saya menghantar roti ke terminal jeti. Ada yang kata, kenapa mahu penat bekerja sedangkan suami ada menanggung kita. Kalau dengar cakap orang, memang kita tak akan berkembang. Semangat saya terus tinggi mahu meningkatkan diri," katanya.

Namun keadaan mula berubah sekitar tahun 2000 kerana ketika itu, kesedaran masyarakat Islam mencari produk halal semakin meningkat. Dari situ, Saleha Bakery mula menjadi pilihan utama.

Pada 2002, Saleha mula membeli ruang kedainya sendiri iaitu lot kedai tiga tingkat berharga kira-kira RM300,000. Satu pencapaian yang memperkukuhkan lagi perniagaannya.

Berbekalkan kata-kata semangat, bukan senang hendak senang, Saleha tidak henti berusaha. Dia juga cekal bersemangat dan sabar sebagai kunci kejayaannya.

"Kalau tak menjadi atau ada masalah, cuba lagi sampai berjaya. Saya pernah buang 15 kilogram tepung hanya untuk mencuba resipi roti. Pegangan saya, kalau hari ini bukan rezeki aku, esok pula.

"Kita juga mesti berani. Kenapa orang lain boleh kita tidak boleh? Beranikan diri dan tebalkan muka untuk berjaya. Itu yang saya amalkan," katanya.

Menuntut ilmu tidak pernah berhenti bagi Saleha. Sehingga ke saat ini, dia masih mengikuti kursus mengenai roti dan kek bagi mengikuti perkembangan terkini dan juga menyesuaikan produknya dengan zaman semasa.

"Apabila ada perkembangan terkini mengenai kek dan roti, cepat-cepat kami belajar," katanya.

Saleha gembira perniagaannya turut diminati kedua-dua anaknya yang menjadikannya perusahaan keluarga.

Dua anaknya, Roshaliza Rosmada, 32, dan Mohamad Ritzuwan Syde Rosmada, 25, kini bersama-sama mengusahakan perniagaan itu.

Cerita Saleha, walau sibuk dengan perniagaan, keluarga dan rumahtangga tidak pernah diabaikannya.

"Saya dulu pagi-pagi buat roti, kemudian menghantarnya sendiri. Memang sibuk. Masa sentiasa penuh.

Hantar dan ambil anak di sekolah, semua saya buat sendiri. Sibuk dengan perniagaan tidak membuatkan saya mengabaikan tugas sebagai ibu dan isteri. Itu paling saya utamakan," katanya.

Kedua-dua anak Saleha semuanya menamatkan pelajaran di peringkat tertinggi dan berbekal ilmu di dada, mereka bersama di Saleha Bakery memasukkan unsur moden dan generasi baru dalam perjalanan perniagaan itu.

Musim paling sibuk Saleha Bakery di Langkawi ialah pada musim kahwin dan Hari Ibu. Memang tidak menang tangan waktu itu.

Namun kata Saleha, pelancong yang hendak meraikan majlis di Langkawi boleh menempah kek dan roti secara dalam talian atau menelefon dua hari lebih awal melalui laman sosial Facebook.com/salehabakery.

Sebelum mengakhiri pertemuan, Saleha sempat berpesan buat mereka yang tiada modal, mulakan usaha secara kecil-kecilan terlebih dulu.

"Dari situ barulah berkembang. Paling penting, modal dan simpanan mesti diasingkan. Ada peruntukan khas untuk simpanan manakala modal harus dipusing untuk kegunaan seterusnya. Walau berniaga sekecil mana sekali pun, simpanan mesti ada. Begitu juga modal, kena jaga," katanya.

Merenung perjalanan perniagaannya kini, Saleha puas dengan segala kerja keras yang dicurahkannya. Saleha Bakery menjadi pilihan penduduk Langkawi dan pelancong berbilang bangsa yang datang ke situ.

"Ia memberi keyakinan kepada diri apabila produk kita diterima pelbagai bangsa. Kita rasa puas hati. Walaupun penat, inilah jiwa saya. Selama kira-kira 30 tahun bergelumang di dunia ini, jika seminggu tak tengok atau pegang tepung, tak lengkap hidup rasanya," katanya.

SUMBER: HMETRO, Selasa, 30 Disember 2014
TAK JEMU BERUSAHA MENJALANKAN BISNES BAKERI Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Jomria Network
Blogger Widget