TANGGUNGJAWAB PENGURUS SEBAGAI PEMANGKIN KECEMERLANGAN ORGANISASI

Umumnya, pengurus ialah seorang yang bertanggungjawab untuk memastikan kemakmuran organisasi yang diterajuinya. Sebagai seorang pengurus sama ada di dalam organisasi yang besar mahupun organisasi yang kecil,  anda perlu merancang dan membuat keputusan, mengorganisasi, memotivasi dan mengawal sumber-sumber organisasi sama ada sumber manusia, kewangan, fizikal dan maklumat.
Oleh itu, anda sebagai seorang pengurus perlulah berperanan untuk memberi arahan, memimpin dan membuat keputusan tentang bagaimana organisasi perlu menggunakan segala sumber yang ada bagi memastikan matlamat yang telah ditetapkan berjaya dicapai.
Dalam usaha untuk memakmurkan organisasi, seorang pengurus perlulah bertindak secara proaktif terhadap lima faktor yang utama mempengaruhi amalan pengurusan organisasi anda. Kelima-lima faktor yang dimaksudkan ini ialah:
  1. Pengurus perlu memastikan persekitaran fizikal yang selamat bagi memenuhi kehendak dan tuntutan pelbagai pihak.
  2. Pengurus perlu memberi keprihatinan yang tinggi kepada persekitaran sosial di mana mereka akan berhadapan dengan isu-isu kepelbagaian yang perlu ditangani dengan sebaik mungkin.
  3. Pengurus hendaklah bersedia mengambil faedah daripada kedinamikan maklumat yang menjadi semakin kompleks, sukar dikawal dan melimpah yang bergerak melalui rangkaian elektronik.
  4. Pengurus perlu bersedia untuk terlibat secara aktif dalam persekitaran politik organisasi sama ada di peringkat organisasi, kebangsaan atau antarabangsa.
  5. Pengurus hendaklah menjunjung tinggi pertimbangan moral dan etika kerana ia merupakan tuntutan dan desakan sejagat yang perlu dipenuhi.
Oleh itu, anda sebagai seorang pengurus perlu sedar bahawa kelima-lima faktor yang dinyatakan di atas akan mempengaruhi kelangsungan dan pembangunan organisasi yang perlu diurus dengan sebaik mungkin.
Oleh yang demikian, setiap pengurus perlu membuktikan yang mereka mampu mengurus kelima-lima faktor berkenaan serta memastikan organisasi mendapat manfaat daripadanya. Setiap pengurus perlu sedar bahawa membina organisasi yang mampan dan berdaya saing adalah satu tuntutan kerana organisasi terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran yang kompleks, persekitaran yang begitu dinamik dan jangkaan yang penuh dengan ketidakpastian.
Melalui kemahiran pengurusan yang dimiliki oleh seseorang pengurus, sudah pasti akan membolehkannya mengurus sumber-sumber organisasi seperti tenaga kerja, kewangan, bahan, maklumat dan teknologi dengan lebih berkesan. Oleh yang demikian penting bagi pengurus menyedari serta memahami potensi dan kekuatan sumber yang dimiliki oleh organisasi.
Walau bagaimanapun dalam kebanyakkan organisasi amat sedikit daripada pengurus mampu untuk menjelaskan bagaimana hendak membangunkan sumber-sumber berkenaan selari dengan perubahan persekitaran yang berlaku. Keadaan ini akan menyebabkan organisasi berkenaan mengalami banyak kerugian dan  tidak mampu mencapai visi dan misi yang telah ditetapkan dengan sebaik mungkin.
Selain itu, sebagai seorang pengurus anda juga perlu memastikan bahawa setiap sumber yang ada dalam organisasi mampu memberi nilai tambah kepada pelanggan luar atau dalaman yang mempunyai kepentingan dengan organisasi. Jika tidak, sumbangan sedemikian tidak akan mendatangkan apa-apa faedah atau pulangan kepada organisasi. Bagi memastikan keadaan ini berlaku, pengurus tidak sepatutnya melihat setiap sumber milikan organisasi secara serpihan, terpisah dan tersendiri sebaliknya melihat secara menyeluruh dan perlu dibangunkan secara kolektif atau bersama.
Pembangunan sumber berkenaan akan hanya mampu memberi faedah yang optimum kepada organisasi jika pengurus memiliki daya saing yang tinggi, berinsentifkan pengetahuan dan bersedia berperanan sebagai penggerak dan pemangkin kepada kesejahteraan organisasi.
Tahap kekuatan kepakaran, kemahiran dan pengetahuan yang dimiliki oleh pengurus mampu mengekalkan daya saing dan akan menjurus organisasi untuk terus kekal kompetitif dan memimpin industri yang diceburi. Faktor ini sudah tentu mengukuhkan kemampuan organisasi untuk menghasilkan pembaharuan, penyesuaian dan penciptaan baru dalam setiap aktiviti yang dijanakan.
Di samping itu. kelebihan kompetitif yang dimiliki oleh organisasi akan meningkatkan produktiviti melalui peningkatan penggunaan teknologi, penjanaan kreativiti dan inovasi di sepanjang rantaian nilai yang melibatkan reka bentuk struktur, pembangunan produk, kepimpinan dinamik yang sentiasa bersedia untuk menceburkan diri dalam industri baru.
Justeru, memiliki sumber yang kompetitif adalah satu keperluan dan satu kemestian yang perlu ditangani dengan sebaik mungkin oleh setiap pengurus. Kemampuan pengurus menguruskan sumber organisasi dengan berkesan membolehkan organisasi bukan sahaja menerajui industri yang sedia diceburi oleh mereka tetapi turut membolehkan organisasi menerokai bidang baru sungguhpun terpaksa berhadapan dengan pelbagai risiko dan ketidakpastian yang terjadi akibat diluar jangkaan.
TANGGUNGJAWAB PENGURUS SEBAGAI PEMANGKIN KECEMERLANGAN ORGANISASI Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Jomria Network
Blogger Widget