Media massa sememangnya banyak mempengaruhi kehidupan kita setiap hari. Secara umumnya, media massa boleh terbahagi kepada dua iaitu media elektronik yang terdiri daripada televisyen, radio dan internet serta media cetak yang terdiri daripada akhbar, majalah dan bahan-bahan bercetak yang lain. Sebenarnya terdapat beberapa kebaikan media massa kepada masyarakat dan negara.
Kebaikan pertama media massa ialah dapat menyampaikan sesuatu maklumat dengan cepat kepada kumpulan sasaran. Banyak perkara dan peristiwa perlu diketahui oleh masyarakat. Dalam keadaan dunia yang seringkali dilanda bencana, peranan media elektronik amat penting. Ramalan keadaan cuaca yang disiarkan di televisyen telah dapat memberikan panduan kepada masyarakat untuk merancang aktiviti harian mereka. Di Malaysia, media massa telah dapat memberikan maklumat dengan cepat seperti dalam kes kejadian tanah runtuh, banjir dan Tsunami. Selain itu maklumat daripada perkhidmatan stesen radio tentang kesesakan jalan raya juga telah dapat membantu pengguna jalan raya dalam merancang perjalanan mereka.
Media massa juga dapat membentuk pemikiran rakyat dalam sesuatu perkara. Sesungguhnya, peranan media massa dalam mempengaruhi minda masyarakat memang tidak dapat disangkal lagi. Sebagai contoh, pihak kerajaan dan pembangkang banyak menggunakan media massa semasa pilihan raya untuk memastikan orang ramai terus menyokong mereka. Malah, kerajaan juga turut menggunakan media massa ketika melancarkan sesuatu program seperti sambutan Bulan Kemerdekaan. Media massa juga turut digunakan oleh pihak tertentu dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan alam sekitar dan isu-isu kemanusiaan.
Media massa juga turut digunakan oleh syarikat-syarikat perniagaan untuk memasarkan barangan mereka. Siaran iklan yang disiarkan di media massa telah dapat merangsang pengguna untuk membeli sesuatu barangan. Walaupun pihak syarikat dikenakan bayaran tertentu di atas iklan yang disiarkan ketapi lazimnya mereka mendapat keuntungan yang lebih banyak daripada iklan tersebut. Perniagaan yang berkembang akan menguntungkan syarikat dan pihak syarikat pula dapat menaikkan gaji pekerja. Media elektronik seperti televisyen dan internet juga turut digunakan untuk memasarkan sesuatu barangan dan perkhidmatan.
Selain itu, kewujudan media massa juga telah dapat membuka banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat. Malah kerjaya dalam bidang penerbitan media massa penuh dengan cabaran dan risiko. Namun demikian pulangan pendapatan melalui media massa juga amat tinggi. Oleh itu, tidak hairanlah syarikat media massa mampu membayar gaji yang lumayan kepada para pekerjanya melalui bayaran perkhidmatan iklan dan bahan yang diterbitkan. Secara tidak langsung, media massa juga telah dapat merangsang perkembangan bidang penyiaran di Malaysia.
Di samping itu, media massa seperti televisyen juga dapat mengisi masa lapang seseorang dengan menonton pelbagai rancangan yang disiarkan. Seseorang yang mempunyai masa lapang juga boleh mendengar lagu-lagu hiburan di radio. Media massa seperti televisyen juga telah dapat rnerapatkan hubungan kekeluargaan apabila ahli keluarga berkumpul bersama-sama menonton sesuatu rancangan. Secara tidak langsung, media massa telah dapat menghindarkan mereka daripada aktiviti negatif seperti melepak dan vandalisme. Dengan menonton televisyen atau mendengar radio seseorang itu juga boleh mempelajari dan menguasai sesuatu bahasa.
Media massa sememangnya banyak memberi faedah kepada masyarakat. Di Malaysia media massa telah banyak memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat berguna kepada setiap lapisan masyarakat. Namun demikian pihak berkuasa mesti terus memantau perkembangan media massa agar tidak mendatangkan kesan yang negatif kepada masyarakat dan negara. Media massa yang cuba merosakkan keharmonian hidup rakyat Malaysia mesti diambil tindakan yang tegas.