Sektor perindustrian negara sentiasa menjadi fokus kerajaan dalam usaha memajukan negara. Memandangkan sektor perindustrian banyak menyumbang kepada kekukuhan ekonoml negara, rakyat mestilah turut bekerjasama untuk memajukan sektor perindustrian. Ekonomi negara pasti kukuh jika sektor perindustrian negara dapat dikembangkan dari semasa ke semasa. Terdapat beberapa langkah yang boleh dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan rakyat dalam memajukan sektor perindustrian negara.
Langkah pertama ialah dengan mempergiatkan usaha menarik lebih ramai pelabur asing untuk datang melabur di negara kita. Justeru, kedudukan Malaysia yang strategik perlu digunakan oleh kerajaan untuk menarik pelabur asing yang baru. Kerajaan boleh memperkenalkan beberapa insentif kepada pelabur asing untuk memikat mereka agar membuka kilang-kilang pembuatan di Malaysia. Antara insentif yang boleh diperkenalkan ialah memberikan taraf perintis dan mengurangkan cukai keuntungan syarikat oleh pihak kerajaan. Dalam usaha menarik pelabur asing ini, rombongan menteri kerajaan ke luar negara boleh dibuat dengan menggunakan pendekatan yang sistematik.
Di samping itu, pihak kerajaan juga mesti menambahkan kemudahan pengangkutan yang terdapat dalam negara bagi urusan eksport dan import barangan. Walaupun negara sudah memiliki kemudahan pengangkutan awam yang baik tetapi kemudahan pengangkutan awam ini perlu dipertingkatkan lagi. Selain itu, kerajaan juga perlu mengenakan bayaran yang minima dalam penggunaan kemudahan pengangkutan awam. Antara kemudahan pengangkutan awam tersebut ialah kemudahan pelabuhan dan kemudahan lapangan terbang. Di samping itu, kerajaan juga perlu memudahkan proses mengeksport barangan agar syarikat yang terlibat tidak menghadapi masalah.
Langkah lain ialah pihak kerajaan perlu menyediakan tenaga pekerja yang mencukupi. Kerajaan perlu mendirikan banyak pusat pendidikan yang dapat mengeluarkan tenaga pekerja mahir dan separuh mahir. Oleh itu, Kementerian Pelajaran dan Kementerlan Pengajian Tinggi boleh memainkan peranan penting dalam usaha menyediakan tenaga pekerja ini. Tindakan kerajaan membuka pusat latihan komuniti adalah langkah yang baik dalam membekalkan tenaga kerja yang diperlukan oleh kilang-kilang. Jika perlu, kerajaan boleh membenarkan pihak pengurusan kilang mengambil buruh asing jika masalah kekurangan tenaga buruh terus berlaku.
Pada masa yang sama, kerajaan perlu menerapkan nilai-nilai murni di kalangan rakyat, khususnya di kalangan pegawai kerajaan. Antara nilai-nilai murni tersebut ialah nilai kerajinan, amanah dan cekap. Pengusaha syarikat perkilangan amat memerlukan pegawai kerajaan yang cekap dan amanah bagi menguruskan hal import dan eksport barangan.