Sebuah Karya Seni Lukis Atas Kanvas Terbesar Di Dunia Dijual Pada Harga AS$62 Juta

Sebuah karya seni lukis yang dihasilkan di atas kanvas tebesar di dunia telah berjaya dijual pada harga AS$62 juta (RM256 juta) di Dubai, menjadikannya lukisan kedua paling mahal pernah dijual dalam acara lelongan oleh seniman yang masih hidup.

Lukisan berjudul The Journey of Humanity oleh seniman British, Sacha Jafri, itu tercatat dalam Rekod Dunia Guinness bagi kategori seni kanvas terbesar, lapor Reuters.

Dilukis di atas sekeping kanvas besar yang dibentang di lantai dewan Hotel Atlantis di Dubai selama tujuh bulan sepanjang tempoh pandemik, kanvas itu telah dibahagikan kepada 70 lot untuk tujuan jualan.

Kesemuanya dibeli oleh warga Perancis, Andre Abdoune, seorang pemilik perniagaan mata wang kripto yang bermastautin di Dubai.

Sasaran Jafri adalah untuk mendapatkan sejumlah AS$30 juta bagi tujuan kebajikan dengan melelong karya selebar 1,800 meter persegi yang dibahagikan itu, namun Abdoune meletakkan harga untuk membeli keseluruhannya.

Abdoune berkata, dia kini merancang untuk fasa seterusnya, iaitu mengharapkan karya itu meraih lebih banyak wang bagi tujuan kebajikan, tanpa memperincikannya. Buat masa ini, dia hanya akan menyimpan lukisan itu di Dubai.

“Misinya adalah untuk mengubah kehidupan kanak-kanak di seluruh dunia dan mengembalikan kemanusiaan. Keinginan suci yang hanya dimiliki kanak-kanak, adalah suatu yang luar biasa,: ujar Jafri.

Senarai penerima sumbangan kebajikan itu nanti termasuklah pihak yang diwakili UNICEF, UNESCO, Global Gift Foundation, dan Dubai Cares.

Jafri, yang tidak dapat keluar dri Emiriah Arab Bersatu, sepanjang tempoh perintah berkurung, hadir dengan konsep karya yang bertemakan hubungan dan keterasingan.

Dia telah menggunakan sejumlah 1,065 berus lukisan dan 6,300 liter cat untuk menyempurnakan karyanya itu.

–AstroAwani

Updated: March 29, 2021 — 4:42 am